Al-Zahrawi: Ketokohan dan Sumbangan
Mohd Irman Mohd Abd Nasir
Pendahuluan
Apabila disebut kerajaan Banu Umayyah maka terbayanglah Kerajaan Bani Umayyah di Dimashq yang diasaskan oleh Muawiyyah Ibn Abi Sufyan yang bermula dari tahun 661M sehingga kejatuhannya pada 750M. Kerajaan Bani Umayyah di Andalus (Sepanyol) kurang popular dalam liputan sejarahnya, namun jika menyebut tentang tamadun Islam, maka kerajaan di Andaluslah yang dianggap sebagai pusat perkembangan tamadun Islam yang paling cemerlang.
Pemerintahan Islam telah bertapak di benua Eropah dalam tempoh yang agak lama iaitu bermula dengan kedatangan Tariq Ibn Ziyad pada 92H/711M sehinggalah kejatuhan kerajaan Bani al-Ahmar pada 897H/1492M yang memakan masa selama 800 tahun. Pertapakan pemerintahan Islam di Eropah yang telah membina tamadunnya yang paling gemilang secara langsung menyumbang serta menjadi jambatan kepada perkembangan tamadun di Eropah. Kesan tamadun dan kebudayaan Islam ke atas Barat telah banyak dibuktikan. Contohnya dalam abad ke-12H/18M, Jesuir Juan Andres dalam bukunya bertajuk Origin, Progress and Present State of World Literaturemengetengahkan pelbagai elemen Arab-Islam yang terdapat dalam kesusasteraan Eropah. Dalam abad ke-19M, Sarton seorang sarjana Barat telah mendedahkan sumbangan tamadun Barat. Demikian juga hasil-hasil karya Asin Palacias, Ribera, Gonzales Palencia, Farmer, Nykl dan lain-lain yang telah membincangkan pelbagai aspek pengaruh kebudayaan Arab-Islam ke atas Eropah (Maruwiyah 2003: 117).
Jelasnya, perkembangan ilmu pengetahuan yang pesat di Andalus telah melahirkan ramai cendekiawan dan ilmuan Islam dari pelbagai sudut ilmu pengetahuan. Ibn Firnas, Maslamah al-Majriti, al-Zarqali, al-Bitruji, Ibn Nafis Ibn Shuhayd, Ibn Zuhr, Ibn al-Khatib, Ibn Baytar, Ibn Rushd, al-Iddrisi dan termasuklah al-Zahrawi, adalah diantara ilmuan-ilmuan Islam Andalus yang masih gah namanya hingga ke hari ini dengan kepakaran mereka dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Namun artikel ini hanya akan membincangkan dan memfokuskan kepada tokoh Andalus yang cukup terkenal di kalangan ilmuan Islam dan di Eropah iaitu tokoh yang dikenali sebagai al-Zahrawi.
Latar belakang perubatan Islam
Sejarah perubatan Islam
Tidak dapat dinafikan bahawa sebelum kedatangan Islam lagi telah pun wujud ilmu sains perubatan. Pada mulanya ilmu ini telah dicedok dari pengaruh tamadun kuno dan kemudiannya dimajukan lagi sejajar dengan perkembangan tamadun Islam. Unsur dan pengaruh kuno itu kebanyakannya berasal dari ilmu perubatan Yunani atau sistem perubatan Hippocrates, serta terdapat juga amalan-amalan perubatan yang diambil dari India dan China. Namun apa yang dikatakan sumbangan sebenar Islam dalam perkara ini ialah peranan cendekiawan Islam itu sendiri yang telah mengembangkan sebuah kesusasteraan perubatan yang besar dan rumit tersebut dengan memeriksa dan mempraktikkan teori dan amalan perubatan dalam bentuk yang lebih berkesan dan canggih (Ismail Saad 1985: 1).
Perubatan Islam dikembangkan berdasarkan tradisi ataupun warisan, terutamanya pengetahuan teori dan amalan yang dikembangkan di Parsi, Yunani, dan Rom. Bagi cendekiawan-cendekiawan Islam, Galen dan Hippocrates merupakan tokoh-tokoh cemerlang yang berwibawa, diikuti oleh cendekiawan-cendekiawan Yunani yang lain seperti Oribasius, Aettius, Alexander of Tralles dan Paulus Aegina (Ismail Saad 1985: 15). Malahan al-Zahrawi sendiri telah menyatakan di dalam karyanya bahawa beliau juga telah merujuk beberapa karya daripada ilmuan Greek dan Yunani seperti Galen dan Hippocrates, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Spink dan Lewis dalam komentarnya daripada terjemahan kitab al-Tasrif dalam bukunya Albucasis on Surgery and Instruments:
Albucasis shows himself to be well read in the ancient masters by his Quotations from Hippocrates and Galen. But his own treatise also shows that these and the numerous later classical writings were, to the generality of this colleagues, little more than academic and almost totally lacked reflection in practical experience and teaching (Spink & Lewis 1973 : 2).
Para cendekiawan Islam menterjemahkan karya-karya Yunani kepada bahasa Arab dan kemudian menghasilkan pengetahuan perubatan yang baru berdasarkan teks-teks tersebut. Untuk membolehkan tradisi Yunani lebih senang difahami dan diajar, cendekiawan Islam telah menyusun pengetahuan perubatan Yunani-Rom yang luas dan rumit dengan lebih sistematik melalui penulisanensiklopedia dan ringkasan (Azhar 2006: 16-17). Melalui terjemahan-terjemahan Arab inilah dunia Barat mendapat tahu tentang perubatan Yunani, termasuk karya-karya Galen dan Hippocrates.
Manakala di dunia Eropah pula, dan semasa zaman kegemilangan Islam pada masa itu, tamadun Barat terjunam ke dalam jurang kegelapan dan kejahilan. Amalan sihir dan kepercayaan karut berleluasa. Kuasa intelek tersesat dalam perdebatan kontroversi keagamaan, dan beginilah keadaannya berlaku hingga lebih 1000 tahun berikutnya. Amalan perubatan dalam zaman Byzantine telah bertukar corak dengan penggunaan tangkal-tangkal serta puja-puja untuk menjauhi kecelakaan dan penyakit. Manakala di Andalus, umat Islam di sana telah mencapai taraf kehidupan yang mewah, dengan kota Cordova yang dianggap sebagai kota yang termaju di dunia pada masa itu serta mempunyai jalan raya yang terang benderang pada waktu malam, anak-anak di Andalus juga berpeluang bersekolah. Tetapi pada masa yang sama, jalan-jalan di Paris dan London masih berlumpur dan gelap hingga 700 tahun kemudiannya, dan Negara-negara lain di Eropah terdapat paderi yang buta huruf dan raja-raja yang tidak tahu menulis nama sendiri (Ismail Saad 1985: 3).
Perubatan di Andalus
Di dunia Andalus pula, sarjana Islam Andalus telah Berjaya menghasilkan kemajuan yang amat membanggakan. Kejayaan mereka mengatasi pencapaian ahli-ahli perubatan Timur. Pengaruh sarjana Islam Andalus dalam bidang Sains Perubatan abad Pertengahan amat mendalam. Mereka turut mempelajari ilmu kimia dan Sains Tabii. Walaupun masyarakat Islam menentang pembedahan keatas mayat manusia dan binatang (Anatomi), tetapi hal ini tidak pula membantutkan kemajuan yang dicapai oleh sarjana-sarjana perubatan Andalus dalam bidang Anatomi dan Fisiologi (salah satu bidang biologi). Mereka berjaya mencapai kemajuan dalam bidang ini dengan melakukan ujikaji ke atas rangka-rangka monyet yang diimport dari Afrika. Dengan cara ini mereka telah berjaya membaiki hasil-hasil karya sarjana Greek seperti Galen, Hippocrates dan lain-lain. Mereka juga telah berhasil melakukan kemajuan di bidang sains dan praktis perubatan (Azam Hamzah 1993: 70).
Berdasarkan teori-teori baru, ahli-ahli perubatan Islam Andalus telah berjaya melakukan eksperimen-eksperimen yang sukar. Mereka sentiasa berhati-hati di dalam semua operasi yang dilakukan khususnya di dalam bidang Aetiologi (Kajian mengenai sebab-sebab timbulnya penyakit),Patologi (Ilmu kaji penyakit) dan Terapuitik (ilmu perubatan mengenai cara merawat atau mengubat penyakit). Dengan itu Andalus berjaya melahirkan sarjana-sarjana yang mempunyai kepakaran mendalam di dalam berbagai cabang ilmu kedoktoran dan mereka telah menghasilkan karya-karya perubatan yang dilengkapi dengan ilustrasi alat-alat pembedahan. Inilah pembaharuan besar yang telah sarjana perubatan Islam lakukan dan dunia perubatan moden terhutang budi kepadanya (Azam Hamzah 1991: 70).
Biografi
Maklumat mengenai latar belakang kehidupan tokoh ini adalah sedikit berikutan keruntuhan kota al-Zahra pada tahun 1010M (Nagendra Kr. Singh 2005: 238) iaitu akibat daripada konflik perang saudara (fitna) yang berlaku di kalangan pemerintah pada masa itu, sekaligus telah memusnahkan sumber-sumber sejarah (Maruwiyah Ahmat 2003: 66-68).
Kebanyakan sejarawan hanya dapat mengesan maklumat tokoh ini daripada manuskrip-manuskrip atau karya-karya al-Zahrawi. Namun terdapat juga sumber daripada penulisan ilmuan Arab-Andalus seperti Abu Muhammad Ibn Hazm (994M-1064M) yang telah menyenaraikan al-Zahrawi sebagai pakar perubatan pada zamannya, dan dikatakan bahawa kitab yang menerangkan secara terperinci mengenai latar belakang al-Zahrawi adalah menerusi kitab al-Ḥumaydī's Jadhwat al-Muqtabis (Hamarneh & Sonnedecker 1963: 13).
Nama lengkap
Nama lengkapnya ialah Abu al-Qasim Khalaf Ibn Abbas (أبو القاسم خلف بن عبّاس), panggilannya Abu al-Qasim dan al-Zahrawi yang diambil sempena tempat kelahirannya di Bandar al-Zahra. Beliau juga diberi gelaran Abu Jirahah yang bermaksud bapa pembedahan. Tokoh pembedahan yang handal dan masyhur ini juga dikenali di Eropah dengan nama Abulcasis. Antara nama-nama lain ialah sepertiAlbalcassis, Assarawi, Akarani, Zahirophius, Alcarafi dan Az-Zahrawi (Jabatan Pendidikan Kedah Darul Aman 2008: 98).
Akibat daripada sumber maklumat yang terhad juga, nama al-Zahrawi dikatakan turut dibahaskan. Menurut Hamarneh dan Sonnedecker, terdapat permasalahan dalam meletakkan nama sebenar bapa al-Zahrawi iaitu samada Abbas (عبّاس ) atau ‘Ayyas (عيّاش) kerana ditakuti sejarawan tersalah ejaan dalam merekodkannya. Namun Brockelmann berpendapat bahawa ejaan yang sepatutnya dalam bahasa Arab ialah Abbas. Permasalahan ini juga turut memberi kesan kepada nama al-Zahrawi sendiri di dunia Eropah yang mana ada sejarawan menganggap nama Albucasis(Abu al-Qasim) dan Alsaharavius (al-Zahrawi) adalah individu yang berbeza (Hamarneh & Sonnedecker 1963: 16-17).
Kelahiran dan tempat lahir
Dilahirkan di kota al-Zahra, 6 batu dari barat laut kota Cordova di Andalus, malahan sejarawan menganggap, salah satu latar belakangnya yang paling tepat ialah mengenai tempat kelahiran beliau. Oleh kerana nama sandarannya ialah al-Zahrawi, maka sejarawan bersepakat al-Zahrawi adalah dilahirkan di kota al-Zahra. Sejarawan menambah, kebiasaannya orang arab selalunya akan menisbahkan individu-individu tertentu kepada tempat kelahirannya. Ini bermakna, jika mengikut teori ini, al-Zahrawi sudah pastinya dilahirkan semasa permulaan kota al-Zahra diasaskan iaitu pada tahun 936M ataupun selang masa berikutnya. Jika al-Zahrawi dilahirkan sebelum masa tersebut, maka sudah pastinya orang arab tidak akan menisbahkan dengan tempat kelahirannya, dan sudah pasti al-Zahrawi dilahirkan ditempat yang lain (Hamarneh & Sonnedecker 1963: 15).
Ini bukanlah satu yang menghairankan jika masa kelahiran dan kematian al-Zahrawi diperdebatkan berikutan sumber maklumat sejarah yang begitu terhad sekali. Dalam buku karangan Dr. Abdul Azim al-Dib yang bertajuk Abu Qasim al-Zahrawi: awal Thabib jirah fi al-ala, beliau telah membincangkan maklumat-maklumat yang berlainan mengenai tarikh kelahiran dan kematian al-Zahrawi, bahkan ada yang mengatakan Al-Zahrawi dilahirkan di Asbania (al-Dib 1979: 36).
Namun secara ringkasnya, sejarawan telah bersepakat menyatakan al-Zahrawi dilahirkan pada tahun 936M iaitu semasa pemerintahan Khalifah Abdul Rahman III (Abdul Rahman al-Nasir (912M-961M)) yang juga telah membuka kota al-Zahra dan meninggal pada tahun 1013M (Jamil Ahmad 1971: 268).
Latar belakang keluarga
Latar belakang keluarga al-Zahrawi juga tidak dapat di pastikan. Sejarawan berpendapat keluarga al-Zahrawi berkemungkinan adalah daripada heararki atasan seperti keluarga bangsawan, menteri-menteri, pemerintah-pemerintah, pegawai kerajaan dan sebagainya, dan berkemungkinan juga keluarga al-Zahrawi adalah daripada heararki bawahan seperti hamba, petani, peniaga, artisan dan sebagainya. Namun sejarawan menambah, jika keluarga al-Zahrawi adalah daripada golongan atasan, pastinya nama mereka tercatat di dalam rekod-rekod kerajaan Andalus, kerana kebiasaannya nama-nama golongan atasan adalah penting di dalam maklumat sesebuah kerajaan. Malahan di dalam kitab al-Tasrif juga, al-Zahrawi tiada menyebut mengenai keluarganya.
Namun terdapat manuskrip-manuskrip dan karya-karya terdahulu yang menisbahkan al-Zahrawi sebagai ‘al-Ansari’ atau pakar perubatan al-Ansar (الأنصار المتطبّب), satu istilah yang ditujukan khas kepada golongan ansar yang berkait rapat dengan peristiwa Hijrah Rasulullah saw. Atas maklumat ini sejarawan berpendapat, kemungkinan keluarga al-Zahrawi adalah berasal daripada orang Arab Madinah yang berpindah ke Andalus (Hamarneh & Sonnedecker 1963: 14-15).
Pendidikan dan Pekerjaan
Beliau banyak menghabiskan masanya di Cordova, dan di sanalah beliau belajar, mengajar dan berlatih dalam bidangnya sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1013M, iaitu lebih kurang tiga tahun selepas kota al-Zahra dihancurkan. Pendidikan yang diperolehi oleh beliau ialah di Cordova iaitu sebuah pusat perniagaan dan pendidikan di Andalus. Beliau dipercayai mengamalkan profesionnya di bandar al-Zahra sebagai seorang pengamal perubatan, pakar bedah dan farmasi, serta dilantik sebagai doktor peribadi khalifah ‘Abd al-Rahman III dan juga anaknya al-Hakam II (Mursi 2007: 381). Pun begitu, Spink dan Lewis dalam karya terjemahannya Albucasis on Surgery and Instrument menyatakan tiada bukti yang menunjukkan al-Zahrawi pernah berkhidmat untuk mana-mana khalifah Andalus, dan jika ada kenyataan tersebut pun, ianya hanya dianggap sebagai tekaan (Smith 2002: 398).
Kepakaran dan sumbangan
Sungguh pun tokoh ini digelar sebagai bapa pembedahan, namun kepakaran al-Zahrawi bukan sekadar terhad dalam satu bidang sahaja iaitu pembedahan yang menjadi keistimewaannya, tetapi juga dalam beberapa bidang lain, antaranya ialah pergigian, penciptaan alat-alat pembedahan, pakar telinga, tekak dan kerongkong ataupun disebut sebagai bidang ENT (Abbreviation for ears, nose and throat) yang juga dikenali sebagai bidang otolaryngology, serta mencipta ubatan-ubatan (farmasi).
Pembedahan
Abu al-Qasim al-Zahrawi ‘Bapa Pembedahan Moden’, merupakan doktor bedah yang terkenal dalam sejarah perubatan Islam. Beliau telah menulis buku yang mengandungi lebih 200 alat-alat pembedahan beserta ilustrasinya sekali. Beliau juga adalah pakar bedah pertama yang menggunakan kapas dalam prosedur pembedahan untuk mengawal pendarahan. Selain itu, beliau juga telah memperkenalkan tracheotomy (pembedahan trakea) dan membezakan antara goiter (beguk) dan kanser thyroid. Dalam bidang pembedahan ortopedik, beliau telah memperkenalkan kaedah kocheruntuk mengurangkan pengalihan tulang bahu 1000 tahun sebelum Brooke memperkenalkannya semula pada tahun 1937M (http://www .medicine .ukm.my).
Rawatan melibatkan rawatan pembedahan berdasarkan pembedahan-pembedahan sebenar yang pernah dilakukannya sendiri. Antaranya, termasuklah cauterization, iaitu teknik pembakaran bahagian badan untuk merawat luka dan sebagainya, mengeluarkan batu karang daripada buah pinggang dan merupakan tokoh pertama yang memperkenalkan posisi lithotomy untuk pembedahan genik (genikologi), perbidanan, pembedahan ke atas haiwan dan juga pembedahan mata, telinga, dan kerongkong (ENT). Selain itu beliau juga telah berjaya melakukan pembedahan-pembedahan rumit termasuklah mengeluarkan fetus yang tidak bernyawa daripada kandungan dan juga amputation(pengudungan atau pemotongan) (Hakim Mohammed Said 1991: 59).
Kita boleh mengambil contoh salah satu teknik perubatan yang digunakan oleh al-Zahrawi sebagai teknik perubatan moden iaitu Kauteri (cauterization). Kauteri ialah proses memusnahkan tisu yang berpenyakit dengan cara membakarnya dengan besi panas ataupun kimia kaustik. Pada masa ini “diatermi’ iaitu sejenis kauteri yang menggunakan besi panas elektrik digunakan dengan luasnya untuk menghentikan pendarahan semasa pembedahan dijalankan. Pembuluh-pembuluh darah kecil yang dipotong dari masa ke semasa itu dengan senangnya dibakar dengan alat diatermi ini dan pendarahan dapat dihentikan dengan pantas. Selain dapat memudahkan proses pembedahan ini,diatermi juga digunakan untuk memotong dan juga membuang tisu yang berpenyakit, misalnyaLession kanser.
Walaupun pada zaman lampau kuasa elektrik belum lagi direka, namun kauteri telah dipergunakan dengan luasnya dengan menggunakan besi panas termasuklah al-Zahrawi sendiri. Bahkan kauteri memang digunakan oleh para doktor bedah untuk menghentikan pendarahan pembuluh-pembuluh kecil semasa pembedahan. Kauteri juga digunakan untuk membuang tisu berkenser, ketuat, buasir dan menyembuhkan fistula, iaitu liang abnormal yang telah menembusi kulit (Ismail Saad 1985: 87).
Alatan pembedahan
Sebagai seorang doktor bedah, alat-alat pembedahan sememangnya merupakan suatu agen yang penting dalam melaksanakan suatu operasi pembedahan. Al-Zahrawi bukan sahaja menyumbang idea dalam teknik-teknik perubatan dan pembedahan, malahan turut terkedepan dalam mencipta alatan pembedahan. Bahkan jika dikaji semula, masih terdapat pengaruh dan unsur ciptaan al-Zahrawi yang digunakan hingga ke hari ini. Sejarawan-sejarawan perubatan juga kebanyakannya mengakui bahawa terdapat beberapa alatan pembedahan pada zaman moden ini sebenarnya adalah evolusi daripada ciptaan al-Zahrawi.
Tiga alat yang terkenal ciptaannya ialah:
i. Alat pemeriksaan bahagian dalam telinga.
ii. Alat pemeriksaan bahagian dalam urethra (saluran tiub yang membawa air kencing dan air mani melalui kemaluan).
iii. Alat yang digunakan untuk mengeluarkan bendasing daripada kerongkong (Hakim Mohammed Said 1991: 59).
Alatan yang lain antaranya termasuklah picagari pembedahan (surgical syringe), bebenang pembedahan yang diperbuat daripada taliperut (catgut), sutera, rambut dan dawai emas atau perak, berbagai jenis pisau daripada beraneka bentuk khusus untuk kegunaan yang berlainan misalnyascalpel (pisau bedah kecil dan pelbagai), gunting, forcep (seperti playar) dan gergaji (Ismail Saad et. al.1985: 91-93).
Beliau pernah berkunjung ke Inggeris sebagai tamu kehormat kerana terkenal dengan ahli operasi bedah di Arab, dan orang pertama yang menjahit luka sobekan untuk mengurangi pendarahan. Di antara kata-katanya: “melakukan perubatan memakan waktu yang panjang, maka bagi orang yang mengambil ilmu ini hendaklah berhati-hati agar hasilnya boleh dimanfaatkan oleh ramai orang, kerana profesion doktor memerlukan ketelitian yang banyak walaupun kelihatan kerjanya tidak banyak” (Mursi 2007: 381).
Farmasi dan terapi
Satu kelebihan al-Zahrawi adalah cara beliau membincangkan tentang bahan ubat-ubatan. Sebagai seorang ahli kimia ubat, beliau telah memberi sumbangan yang banyak terhadap bentuk ubat atau dos, teknik dan alat penyediaan ubat. Kepakarannya dalam bidang farmasi juga diterangkan dengan terperinci dalam karyanya al-Tasrif. Ia mengandungi maklumat lengkap mengenai ubat-ubatan, cara membuat sukatan yang betul dan berat timbangannya, `pemeraman ubat', dan bila ubat boleh disalih gantikan dengan yang lain. Penulisannya yang lain merangkumi bukan saja bidang farmasi tetapi pemakanan serta terapeutik. Malah beliau juga amat memberatkan tentang apa yang diperlukan oleh para doktor terhadap bidang perubatan untuk meningkatkan perkhidmatan mereka kepada pesakit (Hamarneh & Sonnedecker 1963: 54).
Mengenai farmasi al-Zahrawi juga banyak diterangkan dalam karya Hamarneh dan Sonnedecker dalam bukunya A Pharmaceutical View of Abulcasis al-Zahrawi in Moorish Spain. Antara yang diperbincangkan dalam buku tersebut ialah berkaitan dengan farmasi dan rawatan terapi yang dilakukan oleh al-Zahrawi, dan bab-bab lain seperti penjagaan kesihatan dan diet, bahan-bahan untuk menyediakan ubat, farmasi secara praktikal, serbuk dan pil yang dihasilkan beserta ilustrasi dan alat untuk menghasilkannya.
Pergigian
Al-Zahrawi juga pakar dalam bidang pergigian dan pembedahan mulut. Bahagian yang terakhir dalam buku ini membincangkan mengenai penyakit gigi dan pengubatannya juga menerangkan pelbagai bentuk pembedahan penting dalam bidang pergigian. Disertakan juga dalam karyanya illustrasi alatan yang digunakan dalam perubatan pergigian dan menerangkan penggunaannya secara terperinci. Beliau juga mengenal pasti langkah-langkah dan membangunkan teknik untuk menyediakan gigi tiruan atau gigi palsu yang dibuat daripada tulang haiwan (Mirza & Siddiqi 1986: 12).
Beliau juga meneliti secara spesifik tentang gigi geraham yang tumbuh tidak pada tempatnya, memberi ikatan dengan emas atau perak serta mencabutnya tanpa rasa sakit.
Mengkaji Penyakit
Beliau juga terkenal sebagai perintis ‘Ilmu pengenalan penyakit’ (Diagnosis) dan cara penyembuhan penyakit telinga untuk mengembalikan fungsi pendengaran dengan cara memperhatikan secara saksama anatomi saraf-saraf halus (Artris), pembuluh-pembuluh darah (Veins) dan otot-otot (Tendorus). Beliau juga terkenal sebagai pelopor pengembangan ‘Ilmu penyakit kulit’ (Dermatology) yang juga terkandung mengenainya dalam ensiklopedianya al-Tasrif.
Sebagai seorang pengamal perubatan, al-Zahrawi mengkaji penyakit dan pengkelasan penyakit, dan membincangkan mengenai cara-cara mengelakkan penyakit (profilaksis), meningkatkan kesihatan dan mengurangkan kesakitan. Beliau juga adalah orang pertama yang mengenal pasti penyakit keturunan yang dikenali sebagai hemophilia (kanser darah). Beliau juga menceritakan dengan terperinci mengenai hemofilia dan penggunaan benang sutera untuk tisu yang berselirat dan menghentikan peredaran racun dalam tubuh (Hakim Mohammed Said 1991: 60).
Kejururawatan
Beliau juga menerangkan mengenai kejururawatan dalam perubatan yang merupakan pertama kali dalam hospital dunia Islam. Latihan kejururawatan ini terlebih dahulu dihadiri oleh isteri dan anak perempuan para doktor sebelum diikuti oleh kaum wanita lain (Jabatan Pendidikan Kedah Darul Aman: 94).
Karya
Sumbangannya yang paling penting dan paling besar al-Zahrawi adalah hasil karyanya yang telah memberi faedah besar dalam bidang perubatan Moden. Teori-teorinya yang dimuatkan dalam kitabal-Tasrif bukan sahaja digunakan pada zamannya, malahan digunakan hinggalah kini. Bukti yang paling jelas adalah daripada peralatan pembedahannya yang hampir sama dengan peralatan pembedahan masa kini.
Melihat sumbangan-sumbangan Al-Zahrawi, tidak dapat disangkal lagi, pengaruh beliau dalam bidang perubatan dan juga pembedahan telah meletakkan asas utama dalam bidang sains perubatan terutamanya bidang pembedahan serta mempengaruhi bidang perubatan secara keseluruhan. Malah menurut penulis Sejarah Perubatan Arab, Dr. Cambell, asas-asas yang diletakkan oleh Al-Zahrawi dalam bidang perubatan ini sebenarnya melebih apa yang disumbangkan oleh saintis perubatan terkenal Galen dalam kurikulum perubatan Eropah.
Sumbangan beliau dalam bidang perubatan dapat difahami dari buku al-Tasrif. Buku yang dihasilkan oleh al-Zahrawi ini diberi banyak gelaran seperti kitab al-Zahrawi. Nama penuh buku ini ialah Kitab al-Tasrif Liman Ajiza an al-talif, yang secara ringkas disebut al-Tasrif sahaja. Al-Tasrifmengandungi 30 bahagian/bab yang dikumpul menjadikan satu buku. Buku ini meliputi tajuk-tajuk yang luas dan menyentuh pelbagai bidang perubatan. Satu salinan al-Tasrif dianggarkan berjumlah lebih kurang 750 folio ataupun 1500 muka (Ismail Saad et. al. 1985: 41). Buku juga ini memuatkan gambar alat-alat operasi dan dikuatkan dengan teori-teori pendukung dan penerangan terperinci. Karyanya ini sangat penting dalam asas ilmu pembedahan moden sehingga diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Arab dan Latin. Bukunya yang lain ialah seperti Tafsir al-Akyal wa al-Auzan yang menjadikannya masyhur di Eropah dalam masa yang cukup lama (Mursi 2007: 381).
Ensiklopedia ini mengandungi 30 bab pelbagai aspek sains perubatan. Bagaimanapun daripada ensiklopedia ini, aspek yang paling penting sekali yang terkandung di dalamnya ialah siri tiga buah buku mengenai pembedahan. Karya perubatan al-Tasrif yang ke-30 oleh al-Zahrawi adalah satu karya yang menakjubkan. Ia mengandungi penghuraian yang begitu mendalam dalam ilmu pembedahan. Disertai pula dengan 200 lukisan alat pembedahan. Karya ini mengandungi tiga bahagian, bahagian pertama mengandungi 56 bab tentang kauteri, bahagian kedua mengandungi 99 bab tentang teknik pembedahan, dan bahagian ketiga mengandungi 35 bab tentang fraktur (patah tulang) dan dislokasi (terlepasnya kompresi jaringan tulang dari kesatuan sendi)(Ismail Saad et. al. 1985: 101).
Buku mengenai pembedahan ini telah menerangkan secara terperinci mengenai pelbagai aspek rawatan melibatkan rawatan pembedahan berdasarkan pembedahan-pembedahan sebenar yang pernah dilakukannya sendiri. Antaranya termasuklah pengkauteran/lecuhan (cauterization), mengeluarkan batu karang daripada buah pinggang, perbidanan, pembedahan ke atas binatang dan juga pembedahan mata, telinga dan kerongkong. Secara tepat, beliau juga telah berjaya melakukan pembedahan-pembedahan rumit termasuklah mengeluarkan fetus yang tidak bernyawa daripada kandungan dan juga amputasi (mengudungkan).
Tidak sekadar aspek pembedahan, dalam bukunya Al-Tasrif, Al-Zahrawi juga membincangkan mengenai penyediaan pelbagai jenis perubatan selain penerangan komprehensif mengenai rawatan pembedahan yang mengkhusus dalam bidang-bidang ENT, Oftalmologi dan sebahagiannya. Beliau juga menerangkan secara terperinci aplikasi beberapa teknik seperti pejalwapan dan juga penyiringan (decantation).
Ensiklopedia al-Tasrif ini diterjemahkan pertama kalinya ke bahasa Latin oleh Gerard dan kemudiannya diikuti oleh beberapa orang editor lain di Eropah. Buku ini mempunyai beberapa diagram dan ilustrasi alat-alat pembedahan yang digunakan pada zaman itu dan juga yang dibangunkan oleh beliau sendiri. Lebih membanggakan lagi, ilmu yang dicurahkan oleh beliau telah menjadi sebahagian daripada kurikulum perubatan di negara-negara Eropah sejak berkurun-kurun lamanya.
Penemuan dan juga hasil kerja Al-Zahrawi melalui ensiklopedianya Al-Tasrif ini menunjukkan bahawa kepercayaan dunia Islam yang ketandusan pakar dalam bidang surgeri/pembedahan adalah salah sama sekali.
Antara karya-karya lain yang dihasilkan selain daripada karya utamanya iaitu al-Tasrif ialah seperti Kitab fi anradhi al-Nisai iaitu kitab mengenai sakit puan, Kitab fi istihdari al-Adawiyah iaitu kitab mengenai ubat-ubatan (farmasi) dan Kitab fi al-Kail wa al-Mawazin iaitu mengenai sukatan dan timbangan (al-Dib 1979 : 42).
Penterjemahan dan Sumbangannya Dalam Dunia Eropah
Pada pertengahan kedua kurun ke-6H/12M, penemuan karya terjemahan daripada bahasa Arab ke Latin yang paling banyak diusahakan oleh Gerard dari Carmonia. Beliau telah menerjemahkan lebih 70 buah buku Arab ke bahasa Latin. Buku-buku ini meliputi bidang Ilmu seperti Matematik, Astronomi, Geografi, perubatan dan lain-lain. Boleh dikatakan lebih banyak ilmu sampai ke Eropah melalui usaha Gerard dari penterjemah yang lain, dan antara buku yang diterjemahkannya termasuklah karya agung al-Zahrawi iaitu kitab insiklopedianya al-Tasrif dan lain-lain (Muruwiyah Ahmat: 116).
Dalam abad ke-12M. dan ke-13M, banyak hasil karya Arab telah diterjemah ke bahasa latin dan bahasa asing yang lain. Karya al-Zahrawi mula terkenal di Barat pada pertangahan abad ke-12M. Selepas ini nama al-Zahrawi mulai harum sebagai ahli bedah dan ketokohannya disamakan dengan Celcus dan Paulus Aeginate dalam bidang perubatan. Melalui terjemahan Gerard, al-Zahrawi menjadi terkenal dalam awal abad ke-13M di Itali. Dalam separuh abad ke-13M ramai pengamal perubatan dari Itali berhijrah ke Perancis dan membawa bersama mereka ilmu al-Zahrawi. Penghijrahan ini dianggap sebagai asas permulaan pembedahan rasional di Perancis (Ismail Saad et. al. 1985: 41).
Dengan secara kebetulan, pada masa yang sama, satu pembedahan dilakukan oleh Roger of Parma yang menggunakan bahagian ke-13 al-Tasrif sebagai rujukan utama. Selepas Roger, surgeon seperti Bruno di Calabre, Lafranc, Nicolas de Florence, Valeseus dan Toronto dan Louis of Pisa sering merujuk kepada buku al-Zahrawi yang menjadi buku teks utama dalam bidang pembedahan sehinggalah masa Guillanme de Saliceto. Dalam abad ke-14M. Guy de Chauliac menganggap al-Zahrawi sebagai standing dengan pengamal terdahulu sepeti Hippocrates dan Galen. Dalam bukunyaGreat Surgery yang ditulis dalam latin dalam tahun 1363, Guy de Chauliac telah merujukkan kepada al-Tasrif sebanyak 200 kali. Kepentingannya adalah jelas sekali sebab buku ‘Great Surgery’ adalah buku teks piawai dalam bidang surgery di Barat sehingga masa Vesalius (Ismail Saad et. al. 1985: 4).
Sebahagian ataupun keseluruhan buku al-Tasrif telah diterjemahkan kepada pelbagai bahasa terutama sekali Latin, Perancis,Sepanyol dan Hebrew dan diterbitkan di Venice (1497M), Strassburgh (1532M) dan Oxford (1778M). Sayang sekali terjemahan-terjemahan yang dibuat tidak begitu memuaskan dari segi ketepatan dan kesilapan ini semakin besar setelah buku itu ditiru berulang kali.
Buku yang ditulis oleh ai-Zahrawi memenuhi 3 perkara penting:
1. Memberi nasihat dan anjuran yang baik untuk meningkatkan bidang kesihatan dan berguna untuk penuntutnya dan pengamal perubatan yang lain.
2. Alat dan teknik yang digunakan oleh al-Zahrawi dibicarakan dengan terperinci dan beliau menggunakan pendekatan moden terhadap proses-proses yang dibuat olehnya.
3. Beliau mencadangkan kesenian perubatan yang terbaik untuk ketika itu. Beliau dengan jelas memberi keterangan mengenai cara rawatan, persedian ubat, dan penyimpanan ubat di bawah keadan unggul dan cara terselamat pemberian ubat dan diet.Kesemua anjuran yang dibuat olehnya adalah amat bersesuaian sekali dengan prinsip-prisip perubatan yang wujud pada ketika itu (Ismail Saad et. al. 1985: 42).
Sebagai seorang pengamal perubatan, al-Zahrawi mengkaji penyakit dan pengkelasan penyakit,diagnosis dan prognosis, mengakui kepentingan anatomi, temperamen, meteorologi dan membincangkan mengenai cara-cara mengelakkan penyakit (profilaksis), meningkatkan kesihatan dan mengurangkan kesakitan. Melalui buku ini juga rawatan secara kauteri yang dianjurkan oleh al-Zahrawi telah luas diguna di Barat pada akhir zaman Pertengahan. Dalam bidang surgeri al-Zahrawi telah memperkenalkan 150 alat pembedahan termasuk alat untuk obstetik dan pergigian.
Al-Tasrif adalah sumbangan utama al-Zahrawi dan dengan buku ini beliau menjadi sorang tokoh perubatan yang terkemuka. Ketokohannya diakui di negara Sepanyol, Afrika Utara dan Kerajaan Islam Timur dan juga di Eropah Barat.
Kesimpulan
Islam dalam zaman kegemilangannya telah memberikan perkhidmatan terbesar dalam bidang perubatan kepada manusia dengan mengeluarkan beberapa tokoh ternama dalam bidang tersebut. Mereka bukan sahaja mahir dalam perubatan tetapi juga dalam beberapa ilmu di luar perubatan yang dipusakai dan dimajukan oleh dunia Barat. Pengaruh ilmu pengetahuan dan kebudayaan Islam ke Eropah itu masih boleh kita perhatikan hingga kini. Banyak istilah Arab di dalam bidang ilmu pengetahuan seperti matematik, astronomi, fizik, kimia dan termasuklah perubatan yang masih digunakan dalam istilah Barat di dalam bidang-bidang yang berkenaan. Kesemuanya itu memperkuatkan lagi dakwaan yang mengatakan bahawa tanpa sumbangan dan kesarjanaan Islam, khususnya dari Andalus, barat tidak mungkin berada pada tahap mereka sekarang.
Manakala bagi tokoh yang kita bincangkan iaitu al-Zahrawi pula, tidak dapat dinafikan sumbangannya bukan sahaja memanfaatkan dunia, tetapi telah mengharumkan nama Islam sendiri. Bercerita kembali mengenai al-Zahrawi dan tokoh perubatan Islam yang lain, seperti kita bercerita mengenai tokoh pada abad ke 17, 18 dan 19, walhal mereka hidup pada masa yang dirasakan begitu jauh sekali iaitu 1000 tahun dari zaman yang kita kecapi sekarang iaitu zaman moden, namun apa yang menakjubkan, mereka telah pun mengecapi kehidupan yang boleh dikatakan maju dan moden dan pada masa yang sama idea-idea dan pemikiran yang mereka sumbangkan, telah melangkaui zaman. Boleh dikatakan sumbangan al-Zahrawi di dunia Barat khususnya dan di dunia amnya amatlah besar dan manusia terhutang budi padanya.
Rujukan
Ahmad, Jamil. 1971. Hundred Great Muslim. Lahore : Ferozoono Ltd.
Al-Dib, Abdul A’zim. 1979. Abu al-Qasim al-Zahrawi: Awwal Tabib Jarah Fi al-'Alim. Al-Bustan : Darul al-Unsar.
Azam Hamzah. 1991. Sejarah Tamadun Islam di Andalus. Shah Alam: Hizbi Sdn. Bhd.
Azhar Mad. Aros. 2006. Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Selangor: Percetakan Polygraphic (M) Sdn. Bhd.
Hamarneh, Sami Khalaf & Sonnedecker, Glenn. 1963. A Pharmaceutical View of Abulcasis Al-Zahrawi in Moorish Spain. Leiden : E. J. Brill.
Ismail Saad, Abdul Kader Hussain. Mohammed Noor Marahakim, Shahimi Mustapha, Nik Abdul Aziz Sulaiman & Qauzi M. Iqbal. 1985. Pengenalan Tamadun Islam dalam Ilmu Perubatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jabatan Pendidikan Kedah Darul Aman. 2000. Islam Menjana Ketamadunan. Kedah: Percetakan UPCAS Sdn. Bhd.
Maruwiyah Ahmat. 2003. Sejarah Bani Umayyah di Andalus. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.
Mirza, Mohammad R. & Siddiqi, Muhammad Iqbal. 1986. Muslim Contribution to Science. Pakistan: Kazi Publications.
Mursi, Muhammad Sa’id. 2007. Tokoh-tokoh Besar Islam Sepanjang Sejarah. Jakarta: Pustaka al-Kautsar.
Said, Hakim Mohammed. 1991. Medieval Muslim Thinkers and Scientists. Delhi: Renaissance Publishing House.
Sharif, M. M. 1970. Sumbangan Islam kepada Dunia. Kota Bharu: Sharikat DIAN Sdn. Bhd.
Singh, Nagendra K.R. 2005. International Encyclopaedia of Islamic Dynasties: Spain and Eastern Europe. Vol. 40. India: Anmol Publications Put. Ltd.
Smith, Emilie Savange. 2002. Encyclopedia of Islam. Vol. XI. Netherlands : Leiden Brill.
Spink M. S. & Lewis G. L. 1973. Albucasis On Surgery and Instruments; A Definitive Edition of the Arabic Text With English Translation and Commentary. London: Institute of the History of Medicine.
http://www.medicine.ukm.my/wiki/index.php/Sejarah_pendidikan_perubatan.html [5 Oktober 2009].
http://pkukmweb.ukm.my/~ahmad/tugasan/s3_99/fadzillah.htm.html [5 Oktober 2009].

